Sunday, 17 September 2023

Frekuensi Pahang FM di Felda Selancar dan Perwira Jaya ialah 107.5MHz dari Gunung Ulu Kali, tetapi isyarat lemah dan mempunyai gangguan.

3 tahun lepas, saya membuat kajian liputan siaran Pahang FM di Keratong dan Selancar dimana tiada frekuensi yang sedia ada meliputi kawasan-kawasan ini. Di samping itu, saya pernah membuat cadangan kepada RTM untuk melancarkan pemancar Pahang FM di Gunung Ledang bagi meliputi Keratong dan Felda Selancar atas sebab 107.5 Gunung Ulu Kali tidak dapat diterima dengan jelas dan 88.0 Bukit Sembilan "disekat" oleh Eight FM 88.1MHz dari Gunung Ledang di Felda Selancar. Namun, saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada RTM mengenai cadangan saya pada masa itu.

 

Pada 16hb September 2023, saya membuat konvoi radio DXing di Johor iaitu Yong Peng, Paloh dan Chaah. Selepas saya menjalankan aktiviti pemantauan isyarat radio jauh di Chaah, saya membuat keputusan untuk bersinggah ke Felda Selancar dengan melalui jalan Felda Renong di Labis, Johor sebelum mengadakan makan tengah hari (sudah lewat makan) di Tangkak.

 

Felda Selancar dan Perwira Jaya di negeri Pahang tidak jauh dengan sempadan negeri Johor.

 

Di Felda Selancar, kawasan tersebut diliputi oleh pemancar Gunung Ledang serta Gunung Telapak Buruk, tetapi saya memberi fokus untuk menyemak isyarat radio RTM Pahang FM sebenarnya kerana saya mendapati bahawa frekuensi Pahang FM yang sedia ada tidak dapat meliputi kawasan Keratong dan Selancar.

 

Frekuensi Pahang FM di Muadzam Shah yang dipancar dari Bukit Sembilan ialah 88.0MHz, tetapi kawasan liputan terhad untuk Bukit Ibam, manakala frekuensi ini diganggu oleh Radio Klasik FM 87.9MHz (Gunung Telapak Buruk) dan Eight FM 88.1MHz (Gunung Ledang) di Bandar Muadzam Shah.

 

FM 95.5MHz dari Bukit Sulai tidak dapat didengari di Felda Selancar, cuma terdengar bunyi frekuensi Asyik FM 95.6MHz dari Gunung Ledang. 

 

Untuk makluman, siaran radio RTM Pahang FM di kawasan Felda Selancar boleh didengari pada frekuensi 107.5MHz yang dipancar dari Gunung Ulu Kali. Saya membuat ujian isyarat Pahang FM di tiga buah kawasan Felda Selancar, iaitu Felda Selancar 01, Felda Selancar 02 dan Felda Selancar 03. Video dirakam dengan radio kereta, bukannya radio TECSUN PL-380 akibat cuaca panas dan matahari terik.

 

Isyarat Pahang FM 107.5MHz agak lemah dan kurang jelas diterima di Felda Selancar 01, 02 dan 03. Tambahan pula, Pahang FM 107.5MHz diganggu oleh dua buah stesen radio yang dipancar dari Gunung Ledang (Melody FM 107.3MHz dan Negeri FM 107.7MHz) di Selancar.

 

Jarak dari Gunung Ulu Kali ke Selancar:

1. Felda Selancar 01: 154km

2. Felda Selancar 02 & 03: 162km

 

Apabila saya bersinggah dari Felda Selancar 02 ke Felda Selancar 01, isyarat Pahang FM 107.5MHz semakin lemah dan hampir tiada isyarat. Selepas Felda Selancar 01 dan bersinggah ke negeri Johor, semasa perjalanan di Lebuhraya Segamat-Kuantan, Pahang FM masih boleh diterima sehingga Buloh Kasop di Segamat, Johor pada frekuensi FM 107.5MHz dari Gunung Ulu Kali, tetapi kurang jelas, manakala FM 95.5MHz dari Bukit Sulai boleh diterima dengan gangguan frekuensi oleh Asyik FM 95.6MHz dari Gunung Ledang. 

 

Sebelum ini, saya pernah memberi cadangan kepada RTM untuk menambah pemancar Pahang FM di Gunung Ledang, tetapi cadangan kurang sesuai kerana Pahang FM ialah stesen radio untuk negeri Pahang, dan Gunung Ledang terletak di negeri Johor.

 

Untuk memperbaikkan mutu kualiti siaran Pahang FM di Felda Selancar, RTM perlu menukar frekuensi Muadzam Shah di Bukit Sembilan dari 88.0MHz ke 103.9MHz dan menambah kuasa pemancar Bukit Sembilan dari 100W ke 500W supaya pendengar Pahang FM di Selancar boleh mengikuti siaran tersebut dengan jelas. Berdasarkan kepada kajian liputan pemancar radio, pemancaran radio dari Bukit Sembilan boleh meliputi kawasan Felda Selancar dan Keratong dengan jelas.

 

==Analisis frekuensi radio jika Pahang FM menggunakan frekuensi FM 103.9MHz di Bukit Sembilan==

103.6MHz: Era FM Gunung Telapak Buruk

103.9MHz: Pahang FM Bukit Sembilan

<300kHz, OK> 


103.9MHz: Pahang FM Bukit Sembilan

104.1MHz: Best FM Gunung Ulu Kali

<200kHz, OK>


103.8MHz: Manis FM Bukit Senggora

103.9MHz: Pahang FM Bukit Sembilan

<100kHz, OK>


103.9MHz: Pahang FM Bukit Sembilan

104.1MHz: Pahang FM Bukit Pelindung

<200kHz, OK>

 

Sekiranya SKMM (atau dikenali sebagai MCMC) mengizinkan RTM untuk menukar frekuensi Pahang FM di Bukit Sembilan dari 88.0MHz ke 103.9MHz, saya yakin bahawa Felda Selancar dan Keratong akan mempunyai liputan Pahang FM yang lebih jelas. 

No comments:

Post a Comment