Sudah hampir setahun stesen radio Kool FM memperluaskan siaran ke Ipoh, Melaka dan Johor Bahru dengan mengambil alih frekuensi daripada Eight FM (kini dikenali sebagai Eight WuXian).
Di Johor Bahru, Kool FM bersiaran pada frekuensi 105.3MHz, tetapi terdapat banyak pendengar memberi maklum balas bahawa Kool FM 105.3MHz tidak dapat didengari dengan jelas di kawasan Johor Bahru seperti Hot FM 90.1MHz, Fly FM 102.5MHz dan stesen radio lain.
Terdapat satu sebab utama Kool FM 105.3MHz tidak dapat didengari dengan jelas di Johor Bahru.
1. Kebanyakkan stesen radio di Johor Bahru dipancar dari Gunung Pulai, tetapi Kool FM 105.3MHz dipancar dari TM Pelangi yang terletak di Taman Sentosa, Johor Bahru dengan kuasa rendah pada 50 watt (0.05 kilowatt).
2. Pemancaran frekuensi FM 105.3MHz dari Taman Sentosa di Johor Bahru dilancarkan sejak tahun 2011 pada zaman One FM (kini dikenali sebagai Eight WuXian).
3. Kool FM 105.3MHz tidak boleh menggunakan pemancar Gunung Pulai seperti stesen lain kerana ia akan menyebabkan gangguan frekuensi kepada liputan RTM Johor FM 105.3MHz dari Gunung Ledang di Johor Utara. Isyarat radio dari Gunung Pulai boleh memancar sehingga Johor Utara (contoh: Muar, Pagoh, Chaah, Labis) dan sebahagian kawasan negeri Melaka.
4. Kekuatan pemancar Kool FM 105.3MHz di Taman Sentosa, Johor Bahru hanya 0.05kW. Secara umumnya, Kool FM boleh menambah kuasa pemancar kepada 1kW atau 2kW di Taman Sentosa supaya ia boleh didengari lebih jelas di Johor Bahru, tetapi pada sudut teknikal, pemancar Kool FM 105.3MHz pada kuasa pemancar yang tinggi boleh menyebabkan gangguan antaramodulasi (intermodulation interference) terhadap stesen radio lain dari Gunung Pulai dan Singapura di kawasan sekitar Taman Sentosa, Johor Bahru. Oleh kerana menara pemancar TM Pelangi terletak berhampiran dengan kawasan perumahan Taman Sentosa, pendengar yang mendengar stesen radio lain di kawasan tersebut akan mengalami gangguan siaran daripada Kool FM 105.3MHz. Di Kuching, Sarawak, stesen radio Hot FM 94.3MHz yang dipancar dari Gunung Serapi mempunyai gangguan antaramodulasi (intermodulation interference) di kawasan sekitar Batu Lintang yang terletak berhampiran dengan menara pemancar Bukit Djin akibat banyak stesen radio menggunakan menara pemancar tersebut dengan kuasa pemancar yang tinggi.
Tiada frekuensi kosong boleh digunakan oleh Kool FM untuk pemancaran Gunung Pulai bagi menggantikan 105.3MHz yang dipancar dari Taman Sentosa.
* Frekuensi kosong 88.3MHz, 98.0MHz dan 99.5MHz tidak boleh digunakan kerana frekuensi kosong ini adalah hak milik Singapura (IMDA).
* Walaupun FM 107.9MHz ialah frekuensi kosong di Johor Bahru, tetapi ia tidak boleh digunakan oleh mana-mana stesen radio untuk pemancaran Gunung Pulai kerana ia mengganggu komunikasi penerbangan di Johor Bahru, Singapura dan Indonesia (Batam), sedangkan 107.9MHz menghampiri frekuensi penerbangan (VHF 108MHz-137MHz).
Untuk meningkatkan mutu kualiti isyarat Kool FM 105.3MHz di Johor Bahru, Media Prima Audio hanya boleh menambah kuasa pemancar di Taman Sentosa kepada 100W (0.1kW).
Kini, Kool FM 105.3MHz yang dipancar dari Taman Sentosa hanya boleh didengari di Johor Bahru, Pasir Gudang, Masai, dan Ulu Tiram, manakala Kool FM perlu diterima pada frekuensi 88.1MHz dari Gunung Ledang di kawasan Skudai, Iskandar Puteri, Gelang Patah, Kulai dan Senai. Untuk makluman, stesen radio Kool FM 105.3MHz tidak boleh diterima di Singapura kerana antenna pemancar Kool FM di Taman Sentosa tidak menghala ke arah Singapura.




















