Saturday, 4 September 2021

RTM Kelantan FM 97.3MHz dari Bukit Bakar diterima di Bayan Lepas, Pulau Pinang?

 


Pada hari ini, saya menonton sebuah video audio clip yang diterbitkan oleh Senn Lens dimana video tersebut mengejutkan saya.
 
Jika anda ada mengikuti Senn Lens di YouTube, dia menerima isyarat Kelantan FM pada frekuensi FM 97.3MHz dari Bukit Bakar (Machang, Kelantan) di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan menggunakan applikasi penerima radio Poco X3 Pro.
 
Di sini adalah video (audio sahaja) isyarat siaran RTM Kelantan FM 97.3MHz dari Bukit Bakar diterima di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dimuat naik oleh Senn Lens pada sehari sebelum hari ini.

 

Selain daripada Kelantan FM, frekuensi FM 97.3MHz juga digunakan oleh Perak FM di tempat pemancar Changkat Rembian yang meliputi Tapah, Bidor, Chenderiang dan Temoh. Saya mula berasa ragu-ragu mengenai penerimaan siaran FM 97.3MHz yang lemah di Bayan Lepas, Pulau Pinang, sama ada stesen tersebut ialah Kelantan FM atau Perak FM, akibat kedua-dua stesen radio bersiaran dalam bahasa Melayu. Oleh itu, saya membuat penilaian dan pertimbangan, berdasarkan pada data paramater sistem pemancaran Kelantan FM dan Perak FM.

 

==Kelantan FM 97.3MHz==

* Kuasa pemancar: 2kW

* Tempat pemancar: Bukit Bakar, Kelantan

* Ketinggian aras paras laut: 580 meter

* Ketinggian antena: 76 meter

* Kuasa terpancar yang berkesan (ERP): 4kW

* Jarak jauh ke Bayan Lepas, Pulau Pinang: 225km

 

==Perak FM 97.3MHz==

* Kuasa pemancar: 0.5kW

* Tempat pemancar: Changkat Rembian, Tapah

* Ketinggian aras paras laut: 186 meter

* Ketinggian antena: 45 meter

* Kuasa terpancar yang berkesan (ERP): 1.5kW

* Jarak jauh ke Bayan Lepas, Pulau Pinang: 165km

 

Berbanding dengan data pemancaran kedua-dua stesen radio antara Kelantan FM dan Perak FM,

 

1. Ketinggian tempat pemancar dan antena Kelantan FM 97.3MHz di Bukit Bakar lebih tinggi daripada Perak FM 97.3MHz di Changkat Rembian.

 

2. Kuasa pemancar Kelantan FM 97.3MHz di Bukit Bakar melebihi Perak FM 97.3MHz di Changkat Rembian. Dengan pengiraan "perolehan antena" (antenna gain), kuasa terpancar yang berkesan (ERP: Effective Radiated Power) Kelantan FM 97.3MHz lebih tinggi daripada Perak FM 97.3MHz.

 

Pada sudut pemancaran isyarat, RTM Perak FM 97.3MHz beroperasi pada kuasa pemancar rendah sebanyak 0.5kW, pemancaran Perak FM 97.3MHz tidak lebih memancar ke arah barat. Antara Bayan Lepas dan Changkat Rembian, terdapat sebuah gunung tinggi terletak di Gunung Bubu dimana ia menghalang pemancar Changkat Rembian dari memancar ke arah barat laut. Gunung Bubu terletak di antara Ipoh dan Taiping.

 

Selain itu, di Taiping, Perak FM 97.3MHz dari Changkat Rembian mempunyai sedikit isyarat yang lebih lemah daripada RTM Radio Klasik FM 98.3MHz Gunung Ulu Kali.

 

Manakala Kelantan FM 97.3MHz beroperasi pada kuasa pemancar sebanyak 2kW di Bukit Bakar, dan nilai ERP (kuasa terpancar yang berkesan) melebihi Perak FM 97.3MHz di Changkat Rembian, oleh itu kemungkinan Kelantan FM 97.3MHz dari Bukit Bakar diterima di Bayan Lepas, Pulau Pinang adalah tinggi. 

 

Dari penyiasatan atas berikut, juga perbandingan data pemancaran, frekuensi FM 97.3MHz yang diterima di Bayan Lepas, Pulau Pinang ialah RTM Kelantan FM dari Bukit Bakar.

 

* Stesen radio: Kelantan FM

* Frekuensi: 97.3MHz

* Kuasa pemancar: 2kW

* Lokasi pemancaran: Bukit Bakar, Kelantan

* Lokasi penerimaan: Bayan Lepas, Pulau Pinang

* Jarak jauh: 225km

 

Walaupun Kelantan FM 97.3MHz dari Bukit Bakar mempunyai sedikit isyarat di Bayan Lepas, Pulau Pinang, saya mempercayai bahawa ia akan mempunyai gangguan isyarat daripada dua buah stesen radio yang dipancar dari Gunung Jerai iaitu Sinar FM 97.1MHz dan Kedah FM 97.5MHz kerana 97.3 "dikepit" oleh 97.1 dan 97.5 di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara.

No comments:

Post a Comment